Sunday, February 15, 2009

keraguan logo halal

Keraguan logo halal
Oleh NORAINI ABDUL RAZAK
(Wartawan Utusan)
Penggunaan tanda `Halal' atau `Ditanggung Halal' merupakan petunjuk keseluruhan hasil keluaran premis pembuatan, penyediaan dan penjualan adalah halal untuk orang Islam.Penggunaan petunjuk yang menandakan sesuatu hasil itu halal tertakluk di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan Perintah Dagangan (Penanda Makanan), 1975.
Bagaimanapun seperti lain-lain perkara berkaitan dengan hal ehwal Islam yang sentiasa dikaitkan dengan ketidakseragaman, penganugerahan logo halal juga tidak terkecuali.Ini kerana selain logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam negeri-negeri juga berkuasa untuk mengeluarkan label halal untuk digunakan pada produk atau sesebuah premis.
Pengagihan kuasa ini terkandung dalam persefahaman yang dicapai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam negeri-negeri yang antara lain mensyaratkan hanya syarikat tempatan yang mengeluarkan produk untuk pasaran sesebuah negeri sahaja boleh mendapat pengesahan majlis agama Islam negeri berkenaan.
Manakala logo halal yang dikeluarkan oleh Jakim adalah diguna pakai untuk tujuan import dan eksport serta premis yang mempunyai rangkaian antara negeri-negeri lain di Malaysia. Ini adalah ketetapan bersama yang diputuskan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan Agama Islam kali ke-50 pada 30 Jun 1998. Selain kedua-dua logo itu, terdapat juga pengeluar produk makanan yang mengeluarkan logo halal mereka sendiri, tidak kurang juga restoran-restoran yang mempamerkan perkataan seperti Bismillah menandakan makanan yang mereka jual adalah halal.

No comments:

Post a Comment